SEORANG wanita pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai didera secara fizikal dan mental selama hampir empat tahun bekerja di sebuah rumah di Taiping, Perak, akhirnya diselamatkan pada Jumaat, 9 Julai 2021 lalu.

Operasi menyelamat dilakukan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) pusat bersama JTK Perak dengan kerjasama Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kementerian Sumber Manusia memaklumkan mangsa berusia 36 tahun itu diselamatkan susulan aduan dan maklumat oleh Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI).

Berikutan itu, risikan dijalankan pada 7 dan 8 Julai 2021 sebelum operasi menyelamatkan mangsa dijalankan pada jam 6.30 pagi, Jumaat, 9 Julai itu.

Wanita berkenaan dibawa masuk ke negara ini oleh seorang ejen untuk bekerja sebagai pembantu rumah serta dijanjikan gaji RM1,000 sebulan.

"Dia diminta membayar tiga bulan gajinya sebagai bayaran perkhidmatan kepada ejen terbabit sebaik mendapat kerja dan selesai dibayar melalui potongan gaji pada Disember 2017 serta Januari dan Februari 2018," katanya seperti dipetik oleh Berita Harian, Ahad, 11 Julai 2021.

Bagaimanapun, majikan dikatakan mengambil kesempatan memanipulasi mangsa yang tidak mempunyai permit kerja yang sah dan dikategorikan sebagai pekerja asing tanpa izin (PATI).

"Mangsa juga pernah dipukul dengan tangan apabila majikan tidak berpuas hati dengan kerja yang dilakukan, selain tidak diberikan makanan jika menyuarakan hasrat kembali ke negara asal ataupun berhenti," katanya. -KitaReporters



Operasi menyelamat dilakukan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) pusat bersama JTK Perak dengan kerjasama Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

1
1
0
0
0

Copy Link: