TUBUH KONSORTIUM AGAR UTUSAN TERUS BEROPERASI

Published by
KitaReporters
"UTUSAN MALAYSIA henti operasi Rabu ini? Begitulah berita terkini yang terpampar di kebanyakan media sosial ketika ini. Secara peribadi saya rasa amat sedih kerana Utusan merupakan akbar orang Melayu tertua yang telah sekian lama memberi khidmat berita kepada rakyat Malaysia.

Saya telah membaca suratkhabar ini sejak mula-mula belajar membaca lagi. Utusan banyak memberi inspirasi kepada saya untuk rajin membaca. 

Kartun ‘Senyum Kambing’ serta Peraduan Tekabola tidak pernah luput dalam ingatan. 

Bila sekolah rendah, hari Ahad pagi merupakan hari yang ditunggu- tunggu kerana waktu itu abah akan membeli Utusan dan The News Straits Times untuk bacaan sekeluarga. Pancaindera dan Kartun Din Teksi mesti tak missed dan dibaca dulu. 

Bila sekolah menengah saya akan ke bilik bacaan asrama sekolah untuk membaca ruangan berita sukan dan muka depan. 

Kes perbicaraan Botak Chin, kes pembunuhan Datuk Taha Talib di Tampin oleh seorang YB. Berita Pestabola Merdeka antara selera saya untuk menerjah menyelam ke arah akhbar Utusan ini.

Apabila abah dipindahkan ke Sabah pada tahun 1987 dan mengajar di sekolah Dato’ Peter Mojuntin, Penampang. Saya sanggup menunggu suratkhabar Utusan sampai di Kota Kinabalu pada jam 4.30 petang untuk dibeli di pasaraya Kosan (kalau tak silap) yang berdekatan sekolah saya di Maktab Sabah. 

Semasa belajar di England pada sekitar tahun 90-an Utusan Online adalah laman web portal pertama yang akan saya klik di makmal komputer universiti untuk mengubat rindu berita-berita di Malaysia.

Kini Utusan mungkin akan lenyap. Saya tidak menyangka tiga bulan gaji kakitangan Utusan tidak dibayar. 

ANTARA sebab pengurusan tidak dapat membayar gaji kerana penjualan bangunan milik Utusan tidak dapat di teruskan kerana tiada CF Bangunan? 

Sebagai Peguam Litigasi (Mahkamah) dan juga Peguam Conveyancing (jualan hartanah), saya tidak nampak apa sebabnya bangunan tanpa CF tidak boleh dijual? 

Mungkin ‘harga’ menjadi isu penjualan ini... mungkin? 

Saya mencadangkan supaya satu konsortium ditubuhkan SEGERA untuk meneruskan pengambilalihan Utusan agar ia terus beroperasi memberi Khidmat Berita kepada Malaysia." 


Adzly Ab Manas 

Peguambela & Peguamcara 

Setiausaha Agung Persatuan Perjuangan Masyarakat Kota (PERKATA)

1
0
2
1
0

Copy Link: