Berita Terkini| Pencuri guna forklift! Langgar, pecah masuk pasar raya! Curi 25 telefon bimbit!

Published by
KitaReporters

FORKLIFT yang dipercayai digunakan oleh perompak bagi memecah masuk sebuah pasar raya sebelum melarikan pelbagai jenis telefon bimbit di dua kiosk di pasar raya Cmart, Arau, Perlis. - Kredit foto: Utusan Malaysia 


SEORANG lelaki menggunakan teknik terbaharu mencuri dengan lebih ganas iaitu menggunakan sebuah forklift (jentera angkut atau jenangkut) bagi memecah masuk ke sebuah pasar raya di Arau, Perlis sebelum mencuri pelbagai jenis telefon bimbit dari dua kiosk di dalam bangunan itu.

Kejadian itu bagaimanapun disedari pengawal keselamatan ketika membuat rondaan di Pasar Raya Cmart itu kira-kira 9.15 pagi, Rabu, 4 Ogos 2021.

Memetik laporan Utusan Malaysia, hasil pemerhatian pegawai keselamatan itu mendapati pintu masuk kaca di bahagian belakang pasar raya tersebut telah renggang dan terbuka akibat dilanggar dengan forklift.

Pegawai keselamatan tersebut yang turut melakukan pemeriksaan di keseluruhan kawasan pasar raya itu mendapati dua kiosk iaitu kedai menjual telefon bimbit berada dalam keadaan berselerakan sebelum bertindak membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Nanda Maarof memberitahu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut mendapati suspek yang memakai baju berwarna kelabu itu mengemudi sebuah jenangkut dan seterusnya melanggar pintu masuk kaca bahagian belakang bangunan sehingga terbuka.

“Penjenayah tersebut kemudian menggeledah kiosk menjual telefon bimbit tersebut dan mencuri 25 buah telefon bimbit dengan anggaran nilai RM10,385,”katanya. - KitaReporters.


Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Nanda Maarof memberitahu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut mendapati suspek itu mengemudi sebuah forklift ke arah  pintu kaca pasar raya berkenaan.

0
1
3
1
0

Copy Link: