SELEPAS 80 TAHUN, SYARIKAT UTUSAN MELAYU TUTUP KEDAI!!
Published bySATU memorandum pekeliling bertajuk Pemberhentian Operasi Perniagaan Syarikat telah dikeluarkan oleh syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad hari ini (9 Okt 2019). Memorandum itu sekali gus mengesahkan bahawa syarikat Utusan Melayu menamatkan operasinya berkuat kuasa hari ini.
Gambar oleh https://malaysiagazette.com/
BERIKUT isi kandung penuh memorandum tersebut :
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah melalui tempoh perniagaan yang paling kritikal sejak mula beroperasi 80 tahun yang lalu.
Keadaan syarikat semakin merosot selepas Mei 2018.
Pelbagai usaha telah dilaksanakan dengan harapan untuk meletakkan syarikat kepada kedudukan yang lebih kukuh dan terjamin.
Antara langkah yang diambil ialah menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang menyaksikan lebih 700 kakitangan melepaskan jawatan mereka.
Ini merupakan pemberhentian kerja berskala besar yang terpaksa dilakukan bagi kelangsungan syarikat.
Syarikat juga telah berusaha dengan menjual aset-aset syarikat dan kumpulan untuk menampung modal dan mendapatkan aliran tunai yang mencukupi.
Namun edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo yang semakin menurun dan sasaran RM4 juta iklan sebulan yang gagal dicapai menyebabkan aliran tunai Utusan semakin tenat.
Bukan sahaja gaji pekerja gagal dibayar mengikut masa, malah hutang juga tidak dapat dijelaskan dan semakin tertunggak. Syarikat kini berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang–pemiutang.
Sehubungan itu, Lembaga Pengarah Utusan telah pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation) dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai Pelikuidasi Interim (Interim Liquidator).
Langkah ini terpaksa diambil oleh kerana Lembaga Pengarah berpendapat bahawa Syarikat tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan.
Oleh yang demikian, syarikat akan memberhentikan operasi berkuat kuasa pada Rabu, 9 Oktober 2019.
Sehubungan dengan itu, tarikh akhir bekerja tuan/puan telah ditetapkan pada Rabu, 9 Oktober 2019 manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Oktober 2019.
Tuan/puan diminta untuk mengemas tempat kerja, mengambil barang peribadi masing-masing dan mengembalikan semua peralatan dan harta syarikat termasuk kad akses dan kunci pejabat kepada Ketua Jabatan selewat-lewatnya pada jam 1 tengahari, Rabu, 9 Oktober 2019.
Sekiranya terdapat keperluan tambahan, kebenaran masuk akan diberikan kepada kakitangan pada Khamis, 10 Oktober 2019 dari jam 9.00 pagi sehingga jam 6.00 petang.
Selepas daripada waktu ini, akses ke pejabat akan dihadkan kepada kakitangan tertentu sahaja.
Kelayakan Tuan/ Puan untuk faedah penamatan kerja adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan ini akan dikendalikan oleh pihak pelikuidasi.
Satu taklimat kepada semua kakitangan daripada pihak pelikuidasi akan diadakan pada jam 3.00 petang, Rabu 30 Oktober 2019 di Dewan Besar Utusan.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan ketika sesi taklimat ini berlangsung.
Surat makluman kepada semua kakitangan akan diedarkan bermula hari ini.
Sekian, harap maklum.
DATO’ ABD AZIZ SHEIKH FADZIR
Pengerusi Eksekutif