Mangsa melecur dalam kebakaran rumah di Jalan Penang, Georgetown. - Kredit foto: Ihsan JBPM Pulau Pinang


SEORANG lelaki terpaksa berlari dan memanjat pagar bagi meminta tolong setelah sebahagian badannya melecur dalam kebakaran rumah kedai di Jalan Penang, Georgetown, kira-kira jam 3 petang pada 24 Julai 2021.

Mangsa, warga Bangladesh berusia-40 an berlari kira-kira 10 meter ke kedai berhampiran sebelum api yang menyambar badannya dipadamkan oleh orang awam lalu kemudiannya diselamatkan serta diberi rawatan oleh anggota  Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai.

Ketua BBP Jalan Lebuh Pantai,  Muzzamer Mohd Salleh berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran sebuah rumah kedai dua tingkat dengan bahagian belakang dijadikan rumah pekerja itu jam 3.15 petang.

“Sewaktu tiba di lokasi, didapati kebakaran di bahagian belakang rumah terbabit dan faktor angin kencang serta  cuaca panas sedikit sebanyak menyebabkan api marak dengan cepat.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengawal kebakaran. Menggunakan peralatan khas, pagar rumah kedai yang berkunci itu dibuka bagi memudahkan operasi pemadaman.

“Terdapat dua mangsa terlibat dalam kebakaran itu namun kedua-duanya berjaya keluar sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya yang dipetik laporan Harian Metro pada 24 Julai 2021.

Ujarnya lagi, salah seorang mangsa melecur 80 peratus dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang menaiki ambulans untuk rawatan lanjut. - KitaReporters


0
1
1
0
0

Copy Link: