Berita Terkini| MOSTI sasar 5 syarikat 'unicorn' tempatan dilahirkan! Dalam tempoh 5 tahun ini!
Published byKEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan lima syarikat 'unicorn', dibangunkan oleh usahawan pemula atau 'startup' persendirian, dapat dilahirkan dalam negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.
Unicorn adalah terma merujuk syarikat pemula persendirian yang mempunyai nilai lebih AS$1 bilion (RM4.15 bilion). Terma ini dipopularkan oleh Aileen Lee, pengasas Cowboy Ventures, iaitu firma pelaburan terkenal berpangkalan di California, Amerika Syarikat yang memberi dana kepada syarikat pemula.
Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kejayaan Carsome Malaysia yang menjadi syarikat 'unicorn' pertama di Malaysia membuktikan negara mempunyai bakat muda yang hebat serta kreatif.
Katanya, usahawan pemula di negara ini seharusnya mengambil peluang pembiayaan yang disediakan oleh Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP), iaitu sebuah agensi modal teroka di bawah MOSTI.
"Carsome Malaysia harus dijadikan contoh kepada usahawan pemula tempatan di negara ini supaya berusaha gigih dan memanfaatkan teknologi dan inovasi dalam bidang keusahawanan.
"Saya mahu melihat lebih banyak syarikat 'unicorn' dihasilkan di negara ini dan mengambil peluang melalui MAVCAP yang menyediakan pembiayaan. MAVCAP mempunyai peranan penting untuk membawa syarikat pemula ini berkembang pada peringkat antarabangsa.
"MAVCAP perlu lahirkan lebih banyak syarikat 'unicorn' dalam kalangan usahawan tempatan seterusnya mampu menyumbang semula kepada masyarakat dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, peluang mencapai dan membiayai teknologi serta ekonomi dan memberi pulangan kepada negara," katanya seperti dipetik oleh Berita Harian hari ini, 9 September 2021. - KitaReporters
.