Tangkap layar video tular berhubung kes petugas kesihatan tersilap menyuntik vaksin kepada seorang remaja usia 12 tahun menggunakan picagari kosong


PROSES vaksinasi ke atas seorang remaja berusia 12 tahun menggunakan picagari kosong yang videonya tular dalam media sosial berpunca akibat petugas kesihatan terlibat tersilap mengambil picagari masih belum digunakan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata pihaknya memohon maaf kepada ibu bapa serta remaja berkenaan susulan kesulitan yang dihadapi berhubung perkara itu.

“Siasatan awal dilakukan ProtectHealth mendapati kejadian  berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur  jam 3.16 petang pada 29 September 2021.

“Kejadian itu disifatkan sebagai kesilapan petugas atau ‘human error’. Petugas kesihatan atau penyuntik itu juga sudah diberi amaran agar lebih berhati-hati serta mengikut prosedur ditetapkan sepanjang proses vaksinasi.

“Prosedur dalaman juga ditambah baik dengan memastikan tiada picagari lain di ruangan meja sama ketika memberi suntikan bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya yang dipetik laporan Sinar Harian, 2 Oktober 2021.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan I berkata, sebelum tersilap mengambil picagari kosong petugas berkenaan telah mengikut prosedur seperti menunjukkan vaksin dikeluarkan daripada botol melalui picagari serta dos sepatutnya.

Katanya lagi, penyuntik kemudiannya meletakkan sebentar picagari di atas meja untuk melakukan proses nyahkuman pada lengan remaja tersebut sebelum melakukan suntikan namun dia tersalah mengambil picagari kosong diletakkan berhampiran.

“Hasil perbincangan dengan ibu bapa remaja berkenaan mereka membenarkan anak mereka  diberikan suntikan vaksin pada lengan berlainan mengikut Prosedur Dos Kurang.

"Prosedur Dos Kurang adalah garis panduan klinikal yang mencadangkan pemberian vaksin pada lengan berlawanan jika dos pertama dianggap tidak mencukupi dan dos semula diperlukan," ujarnya. -KitaReporters


12
13
1
9
1

Copy Link: