Berita Terkini| 'Jerat pekerjaan' dalam media sosial! Tawaran iklan kerja! Janjikan keuntungan!
Published byGambar hiasan... Orang ramai perlu lebih berhati-hati dengan tawaran pekerjaan yang diiklankan dalam media sosial. - Kredit foto: jambi.tribunnews.com
POLIS Seberang
Perai Utara (SPU) telah menerima sebanyak lima kes ‘jerat pekerjaan’ sejak awal tahun 2021 ini berkaitan
penipuan tawaran pekerjaan yang diiklankan menerusi laman sosial.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata
jumlah keseluruhan
kerugian dialami semua mangsa terlibat dengan kes-kes tersebut adalah sebanyak
RM59,328.
“Terbaharu pada 14 Ogos 2021 melibatkan dua penuntut universiti yang kerugian RM27,545 setelah terjerat dalam penipuan sindiket yang menawarkan pekerjaan sambilan di sebuah platform e-dagang popular.
“Mangsa lelaki berusia 21 tahun dan perempuan berusia 23 tahun itu masing-masing kerugian RM21,450 serta RM6,095. Setelah melihat tawaran iklan dalam media sosial mereka kemudiannya menekan satu pautan dalam Facebook.
“Kemudiannya nombor telefon mereka dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi sosial WhatsApp dan diberikan penerangan tentang pekerjaan yang perlu dilakukan sebagai ejen pembelian dalam talian serta keuntungan diterima,” katanya dipetik daripada laporan Utusan Malaysia, 15 Ogos 2021.
Tambah beliau, mangsa menyedari ditipu selepas tidak lagi menerima wang keuntungan seperti dijanjikan walaupun telah membuat pembayaran barangan dalam tugasan yang dibuat lalu kemudiannya membuat laporan polis.
Ujar Noorzainy lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan orang
ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan tawaran peluang pekerjaan
sambilan melalui media sosial dengan meminta wang bayaran kerana ia merupakan
modus operandi sindiket penipuan. - KitaReporters