PERDANA Menteri baharu berikrar memastikan setiap intervensi dan usaha memerangi pandemik Covid-19 dilakukan dengan lebih komprehensif.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha itu bakal dilaksanakan melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan pembabitan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil.

Strategi dirangka kerajaan terdahulu akan diteruskan dan diperkasa serta ditambah baik dengan mengambil kira pandangan pakar kesihatan awam negara.

"Pandemik Covid-19 adalah musuh kita semua. Mengambil kira situasi getir pandemik Covid-19 dunia, umum mengetahui bahawa varian wabak ini sentiasa berevolusi, bermula daripada varian alpha kepada beta dan terkini ialah lambda.

"Melalui usaha berterusan kerajaan sebelum ini, kadar pencapaian vaksinasi di Malaysia adalah antara yang terpantas di seluruh dunia. Malaysia konsisten memberi kadar vaksinasi yang tinggi melebihi 500,000 dos sehari,” katanya dalam ucapan sulung selepas mengangkat sumpah Perdana Menteri ke-9.

Tegas beliau, menerusi data kerajaan akan meneruskan usaha dilaksanakan sebelumnya agar segera kita beralih ke fasa pemulihan melalui sasaran imuniti kelompok.

“Kerajaan akan memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung diperhebat bagi mencapai sasaran berkenaan lebih awal.

"Saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberikan kerjasama penuh dalam pengambilan vaksin. Bagi mereka yang belum mendaftar, rayulah ahli keluarga kita untuk segera berbuat demikian,”ujarnya. - KitaReporters


 

1
0
0
0
0

Copy Link: