Berita Terkini| Hina Agong dalam Facebook! Suri rumah menangis didenda RM9k! Mengaku bersalah!

Published by
KitaReporters

Rosmawati Mohd Zain didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan menghina Yang di-Pertuan Agong dalam Facebook. - Kredit foto: Bernama


SEORANG suri rumah mengalirkan air mata selepas didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2021 bagi kesalahan menghina Yang di-Pertuan Agong dalam Facebook pada Mei 2021.

Memetik laporan Sinar Harian 3 Ogos 2021, Rosmawati Mohd Zain, 46, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Mengikut pertuduhan, Rosmawati didakwa secara sedar memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat menganiayai orang lain melalui profil Facebook Rosmawati Mohd Zain pada 25 Mei 2021 jam 7.06 malam.

Hantaran berkenaan dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada 1.06 tengah hari, 1 Jun 2021.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, serta boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Mahkamah turut memerintahkan Rosmawati dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda namun dia membayar denda tersebut.

Ketika rayuan, dia yang tidak diwakili peguam memohon denda ringan atas alasan telah insaf dan menyesal dengan perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama. -KitaReporters


 

2
1
0
2
0

Copy Link: