FUNGSI masjid di negara ini akan dimanfaatkan untuk dijadikan sebagai pusat transit keganasan rumah tangga dengan melibatkan kolaborasi antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, langkah itu bagi menyerlahkan lagi fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat.

“Hasrat menjadikan masjid sebagai tempat yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada segenap lapisan masyarakat itu amatlah wajar kerana telah dipraktikkan pada masa lampau.

“Dengan wujudnya kepelbagaian aktiviti itu kelak, pelbagai kemudahan meliputi keperluan psikososial dan spiritual dapat dijayakan,” katanya seperti dipetik oleh Kosmo, Sabtu, 11 September 2021.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) kepada remaja lumpuh, Ahmad Auza’e Subri di Kampung Sungai Petai Changkat Jering, Bukit Gantang.

Katanya buat masa ini, projek sedemikian telahpun dimulakan di Wilayah Persekutuan dan akan dikembangkan ke masjid-masjid seluruh negara.

Menurut Idris, buat permulaan dua masjid telah dipilih sebagai perintis iaitu Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Al-Ghufran Pinggiran Taman Tun Dr Ismail. - KitaReporters


6
6
0
14
0

Copy Link: