Berita Terkini| Santuni wanita malang! Ditinggalkan suami warga asing! Hutang hampir RM1 juta!
Published byDATUK DR. ZULKIFLI menyampaikan bantuan kepada Faizah ketika menziarahi wanita itu di kediamannya di Putrajaya pada 2 Julai 2021. - Kredit foto: FB Dr Zulkifli
NASIB seorang wanita yang ditinggalkan oleh suami warga asing dengan hutang hampir mencecah RM1 juta mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Selepas mengetahui mengenai kesukaran hidup dihadapi
wanita yang dikenali sebagai Faizah selepas menerima kiriman emel daripadanya,
Dr. Zulkifli bersama beberapa agensi mengunjungi kediaman wanita berkenaan di
Putrajaya.
Menerusi Facebook Dr. Zulkifli berkongsi mengenai nasib Faizah dan kehidupan yang dilaluinya bersama anak-anak selepas ditinggalkan oleh suami.
Menurutnya, Faizah menyatakan sebelum ini kehidupannya bersama suami dan anak-anak bahagia dan keadaan mula berubah selepas suami menghilangkan diri dengan meninggalkan beban hutang yang banyak.
Katanya, wanita berkenaan menguruskan anaknya seorang
diri dan demi desakan hidup dia membuat pinjaman ah long bagi menyelesaikan
hutang.
"Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu merencatkan sumber pendapatan Faizah termasuk anak-anaknya yang hilang pekerjaan, seorang daripada anaknya masih menuntut di universiti.
"Saya beranggapan beliau adalah seorang ibu yang
cekal, namun ia tidak dapat mengubah keadaan kerana pandemik Covid-19 yang
berlarutan menyukarkan pergerakannya dan saya doakan beliau dapat mengharungi
pandemik ini dengan lebih bersemangat dan tabah bersama anak-anak
tercinta," katanya seperti dipetik oleh Harian Metro, Sabtu 3 Julai 2021.
Dalam kunjungan itu, Majlis Agama Islam Wilayah
Persekutuan (MAIWP) melalui Baitulmal menyalurkan bantuan Skim Bantuan
Menyelesaikan Hutang, Skim Bantuan Kecemasan Skim Bantuan Am Pelajaran Institut
Pengajian Tinggi (IPT) Dalam Negeri, serta Skim Bantuan Perniagaan dan Bimbingan
Keusahawanan.
Turut menyumbang, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan menyumbangkan wang tunai dan mendaftarkan beliau sebagai penerima modal perniagaan wanita Arrahnu Biznita termasuk menyalurkan barang asas dapur serta bantuan pengajian kepada anak beliau yang masih menuntut di universiti.
Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Tabung Musa’adah juga telah menyampaikan wang tunai kepada wanita
berkenaan untuk perbelanjaan harian. - KitaReporters