KERAJAAN kini sedang memperluaskan sistem pentadbiran tanah secara eletronik (e-Tanah) ke seluruh negara dalam usaha menyeragamkan pentadbiran tanah di negeri-negeri berdasarkan perundangan yang berkuat kuasa, selain mengurangkan kerenah birokrasi dan mempertingkat ketelusan serta integriti dalam pentadbiran tanah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sistem itu dijangka selesai dibangunkan di semua negeri dan boleh diguna pakai sepenuhnya selewat-lewatnya mulai tahun 2024.

"Dengan kejayaan pelaksanaan di Kuala Lumpur dan Perak, kerajaan Persekutuan kini sedang mengorak langkah untuk melaksanakan perluasan sistem e-Tanah secara kerjasama awam swasta (PPP) ke Putrajaya dan Labuan, Selangor, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah, Perlis dan Kelantan," katanya seperti dipetik oleh Sinar Harian pada Selasa, 27 Julai 2021.

Muhyiddin berkata, sepanjang pelaksanaannya, sistem ini telah berjaya meningkatkan kualiti dan kecekapan pentadbiran tanah di Kuala Lumpur selepas dimulakan secara sejak tahun 2017.

Beliau berkata, semasa peringkat awal pandemik Covid-19 melanda negara pada tahun 2020, sistem e-Tanah dapat beroperasi dengan baik seperti urusan berkaitan tanah.

"Carian persendirian, pembayaran cukai, permohonan pindah milik dan permohonan gadaian tanah dapat diteruskan secara dalam talian dengan cekap dan selamat," katanya. - KitaReporters


1
0
0
0
0

Copy Link: